Skip to main content

CERPEN ISLAMIK : ALLAH SEBAIK-BAIK PERANCANG


Fathil terpaku. Sedih. Perasaaan bercampur baur melihat sahabat-sahabat seperjuangan Islam ketika di sekolah menengah, kini semakin leka dengan nikmat kesenangan dunia. Tipu daya syaitan mengatasi segala-galanya. Facebook, laman web sosial yang semakin popular, digunakan sebagai medium untuk berhubung dengan kawan-kawannya semula. Fathil sekarang sedang menunggu keputusan peperiksaan akhirnya. Dia belajar di sebuah kolej persediaan untuk ke Australia.


Pilu melihat gambar-gambar sahabatnya di Facebook; yang mana dahulunya cukup terkenal sebagai akhi yang sering yang bermujahadah dan istiqamah dalam dakwah, kini hanyut dengan arus cinta manusia. Gambar-gambar bersama teman wanita menghiasi ‘profile pictures’ sahabat-sahabatnya. Tidak kurang juga bagi akhwat, yang dahulunya sangat dihormati kerana menjaga batas pergaulan, tunduk apabila berbicara membuktikan kukuhnya iman, kini alpa dengan arus pemodenan. Hijab yang dahulunya menjadi duri bagi setiap kumbang yang ingin hinggap pada mawar tersebut, kini sudah tiada lagi. Tudung singkat dan baju ketat menjadi pilihan, menampakkan bentuk tubuh badan yang telah diamanahkan Allah untuk dijaga sebaik mungkin daripada pandangan bukan muhrim. 

Bukan semua sahabatnya, hanya segelintir. Kalimah istighfar membasahi bibir Fathil, kelopak mata yang sarat dengan takungan air, melimpah jua. 

"Ya Allah, berikanlah hidayah kepada sahabat-sahabat seperjuanganku, janganlah Kau biarkan mereka hanyut dan jauh daripada jalan-Mu yang lurus, sepertiku dulu...." 


Fathil tidak mampu membuat apa-apa, kerana apabila dinasihat melalui laman web sosial tersebut, mereka lebih pandai berhujah, malah cuba membenarkan apa sahaja perlakuan mereka. Syaitan dan hawa nafsu menguasai diri mereka. Mereka mempersendakan hukum Allah, tidak takut akan balasan Allah. 

"Kenapa mereka berubah sedemikian rupa, Ya Allah" monolognya sendirian. 

Fathil mencapai dan membelek-membelek tafsir Al-Quran di hadapannya. Cantik, biru warna kulitnya, dihadiahi seseorang yang pernah mengisi kekosongan hidupnya, suatu ketika dahulu.

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya). (Al-An'aam 6:70)

***********************************************************************************
"Awak, saya harap awak dapat terima buku Hadith Pilihan ni, Insyaallah dapat membimbing kita bersama-sama," ungkap Fathil sambil menghulurkan sebuah buku berkulit tebal; himpunan hadith2 sahih, kepada Asiah. 

Asiah juga menghulurkan sebuah tafsir Al-Quran kepada Fathil. Fathil menyukainya memandangkan warna kulit buku tersebut berwarna biru, warna kegemarannya. Pertemuan buat kali terakhir itu dirancang di hadapan masjid berdekatan sebelum mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing. Asiah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Syria, manakala Fathil mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Sebelum itu, Fathil perlu membuat persediaan di sebuah kolej di ibu kota selama setahun setengah di Malaysia.

***********************************************************************************
Fathil dan Asiah adalah antara tulang belakang dalam badan Agama sekolah. Tetapi, sudah menjadi lumrah untuk manusia mempunyai perasaan terhadap berlainan jantina. Mereka menyukai antara satu sama lain. Cinta yang kononnya kerana Allah, iaitu tipu daya syaitan, menghalalkan segalanya. 

Pada suatu hari, Fathil meluahnya perasaannya, menggagahkan dirinya mengambil telefon bimbitnya dan menaip, 


"Assalamualaikum. Asiah, sebenarnya saya berniat untuk menjadikan awak sebagai kekasih hati saya, wanita yang menyinari hidup saya, bersama-sama membantu saya dalam menegakkan dakwah Islam. Saya memerlukan seseorang yang mendokong saya supaya saya dapat menggalas tanggungjawab menjadi da`ie dengan sebaik mungkin, sepertimana mulianya kasih sayang dan pengorbanan yang dilakukan Khadijah terhadap Rasulullah. Saya cintakan awak, ikhlas kerana Allah, saya sebenarnya berniat menjadikan awak sebagai isteri, tapi kekangan masa mengatasi segalanya, kerana banyak tanggungjawab perlu digalas, saya berharap buat masa ini, awak dapat menerima saya sebagai teman lelaki awak. Insyaallah, jika kita bercinta kerana Allah, Allah akan sentiasa membantu kita supaya kita tidak dikawal oleh hawa nafsu." 


Panjang mesejnya, menanti dengan penuh debaran samada Asiah menerimanya atau tidak. Dipendekkan cerita, responnya positif. Bermulalah sebuah episod cinta yang kononnya berlandaskan Islam, atau "couple in islamic". Indah, kerana mereka saling memperingati antara satu sama lain, berkongsi ayat-ayat Al-Quran dan banyak lagi. Namun, sebagai manusia dan hamba Allah yang lemah, mereka juga tidak lari daripada zina, walaupun tidak sampai berpegangan tangan, melakukan maksiat atau berdua-duaan di tempat sunyi. 

Zina yang dimaksudkan ialah zina hati, kerana mereka saling merindui antara satu sama lain. Sudah menjadi lumrah apabila pasangan akan mengingati pasangannya yang lain. Mereka tewas dengan diri sendiri, malah semakin jauh daripada mengingati Allah. Fathil yang dahulunya menghiasi hari-hari dengan membaca Al-Quran dan berzikir mengingati Allah, sudah berubah. Dia lebih banyak mengingati Asiah daripada Allah, penciptanya. Begitu juga Asiah. 

**********************************************************************************
"Assalamualaikum, awak tinggal di bilik AE-25 ke?" sapa seorang lelaki dari belakang, bertubuh agak tinggi dan tegap, suci mukanya. 

"Ya," jawab Fathil, ringkas. Kini, dia berada di hadapan bilik AE-25, asrama tempat tinggal kolej persediaannya. 

"Owh, jadi bilik kita sama," senyum lebar lelaki tersebut. 

Umar namanya. Wataknya yang periang membuatkan Fathil berasa selesa dengannya, malah mereka berdua mempunyai nawaitu yang sama, iaitu menjadi syabab (pemuda) yang menjadikan Islam sebagai rutin hidup, yang seimbang antara dunia dan akhirat, serta bersama-sama dalam jalan dakwah berkongsi ilmu mengenai Islam terhadap pemuda-pemuda yang lain. Rutin harian mereka mudah diikuti. Mereka bersolat jemaah pada setiap waktu di surau, mengamalkan al-mathurat selepas subuh, membasahkan lidah dengan berzikir dan berselawat, bersugi sebelum berwuduk, menunaikan solat sunat dhuha, menunaikan solat tahajud di kala sahabat yang lain enak tidur, usrah bersama rakan-rakan, mengamalkan surah Al-mulk sebelum tidur, dan pelbagai lagi amalan yang dilakukan, semata-mata mencari keredhaan Allah. 

Mereka berdua menunjukkan teladan yang baik sebagai medium dakwah. Alhamdulillah, mereka berdua menjadi sahabat karib yang mana mereka bersahabat kerana Allah, bertemu dan berpisah jua kerana-Nya.

Sudah 4 bulan mereka belajar di situ. Umar menyedari perbuatan Fathil sejak sekian lama, pada setiap pagi selepas subuh dan juga sebelum tidur. Fathil pasti akan menggunakan telefon bimbitnya, bermesej sambil senyum sendirian. Selama ini, Umar sentiasa husnul zon (bersangka baik). Namun, pada hari ini dia bertekad untuk bertanya Fathil. Umar memulakan perbualan sebelum tidur. 

"Baiknya, nta selalu mesej ibu bapa nta." 

"Eh, mana ada, ana tak mesej diorang pun, ana mesej kawan," jawab Fathil. 

"Owh, kawan, lelaki ke perempuan?" soal Umar. 

"Hmmmm," Fathil terhenti seketika. Dia dapat mengagak bahawa Umar mengesyaki sesuatu. 

**********************************************************************************

"Tak, nta tak paham, ana bercinta kerana Allah, ana dah berjanji yang akan bernikah setelah abis belajar," jawab Fathil, sayu.

"Wahai akhiku, tiada perkara yang menghalalkan cara, walaupun niat nta baik, tapi nta tersalah method. Sebagai contoh, seorang ustaz ingin mengajarkan agama terhadap seseorang perempuan, tetapi mereka berdua-duaan di hadapan khalayak. Walaupun niat ustaz tersebut baik, tetapi methodnya salah. Maka akan timbulnya fitnah daripada orang yang melihatnya. Bagi situasi nta plak, walaupun nta mempunyai niat yang baik, untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah, method nta kurang tepat. Nta tetap berpeluang untuk terjerumus dalam zina, iaitu zina hati. Usah menipu diri sendiri dengan mengatakan yang nta tidak sesekali rindu akan dia. Jika nta betul-betul sayangkan dia kerana Allah, nta tidak akan membiarkan dia menghampiri zina, kerana sudah semestinya dia juga akan merindui nta. Jika nta mencintai dia, kenapa nta hendak kotorkan hati sucinya daripada lalai mengingati Allah, tetapi mengingati nta? Jangan biarkan hawa nafsu menguasai kita, ana sayangkan nta sebagai sahabat dunia akhirat, ana takkan biarkan nta hanyut dengan cinta remaja, lagipun adakah nta dapat menjamin bahawa nta cintanya kerana Allah, atau kerana hawa nafsu?"  hujah Umar, panjang lebar. Umar beristighfar supaya dirinya tidak dikuasai emosi, sebaliknya bersikap profesional dalam menasihati sahabatnya itu.

"Tapi Umar, nta jangan salah faham, ana dengan dia saling menasihati antara satu sama lain, saling mengingatkan, ana tak ada mesej jiwang-jiwang dengan dia, Subhanallah. Malah, apa bezanya kalau ana mesej dengan dia, atau mesej dengan kawan perempuan lain?" 

"Beza akhiku, kerana nta mempunyai perasaan terhadap dia, dan si dia juga mempunyai perasaan terhadap nta, iaitu kasih sayang dan cinta. Berbeza dengan kawan perempuan, yang mana kita mesej apabila dirasakan perlu dan nta tidak ada perasaan terhadapnya. Tetapi, kepada si dia, nta sudah pasti rasa tidak keruan jika tidak mesej dengannya, walaupun sehari, bukan? Sedarlah wahai sahabatku."

Fathil diam. Terpaku. Tidak mampu berkata apa-apa, hanya mampu beristighfar, memikirkan kata-kata sahabatnya. Hari-hari malam yang dilaluinya, begitu perit, kerana Umar sentiasa menasihatinya, istiqamah. Umar tidak pernah berputus asa membimbing sahabatnya itu. Fathil teringat akan firman Allah, 

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Al-Baqarah 2:44)

"Ya Allah, apa yang telah aku lakukan, aku menggalakkan sahabat-sahabatku supaya bertaqwa kepada Allah, tetapi aku lupa akan kejahilan diriku ini,"tersentuh hati Fathil.

Fathil juga semakin sedar. Dia semakin banyak menghabiskan masa membaca Al-Quran.
Method dakwah Umar memang berkesan. Alhamdulillah. Umar sentiasa berdoa supaya sahabatnya sedar. Fathil sedar bahawa selama ini dia bercinta didorongkan hawa nafsu, bukan kerana Allah. Jika dia bercinta kerana Allah, dia tidak akan mengotorinya dengan hawa nafsu dengan mendekati perempuan tersebut. Fathil bertaubat, memohon seribu kemaafan daripada Allah. Suatu hari, dia bertekad, dan meminta pendapat Umar, adakah dia patut minta putus dengan Asiah. Umar tenang, sambil berkata,

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah 2:216)

Fathil bertekad, mengambil telefon bimbit di belakang bantalnya, dan menaip mesej, 

"Assalamualaikum awak. Saya ingin mintak maaf, ikhlas dari lubuk hati, mungkin keputusan saya ini akan membuatkan awak terkejut, dan menangis. Tetapi percayalah, saya melakukan ini semata-mata kerana Allah. Cinta kepada Allah sangatlah agung, tetapi sukar untuk kita miliki. Selama ni, cara kita salah, tiada ungkapan cinta islamik dalam cinta remaja, sebaliknya cinta yang sebenar ialah selepas akad nikah. Walaupun kita selalu berhubung dan saling menasihati mengenai benda-benda kebaikan, perkara ini tak menghalalkan cara. Saya tiada niat untuk melukakan hati awak, sebaliknya jika awak benar-benar menyayangi saya, kerana Allah, kita akhiri hubungan kita setakat ini sahaja. Ingatlah, kita hanya merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang, jika kita benar-benar dijodohkan, Alhamdulillah, jika tidak, terimalah ketentuan Allah, dengan redha dan ikhlas. Kita hidup mengharapkan keredhaan-Nya. Saya harap kita akan dapat kekal sebagai kawan sahaja setakat ini."

Mesej dihantar. Air mata Fathil mencurah-curah. Tidak tertahan olehnya pengorbanan yang telah dilakukan. Umar berada di sisi, memberi kata-kata semangat, "Luahkan segalanya wahai akhiku, ingat, nta bermujahadah kerana Allah, Allah akan sentiasa bersama nta."

**********************************************************************************
Bunyi deringan lagu 'Menanti di barzakh', alarm telefon bimbit Umar memecah kesunyian subuh. Mereka berdua terjaga, bersiap-siap. Fathil mencapai telefon bimbitnya; ada 5 mesej dan 2 'miscall'. Tak semena-mena, Fathil menangis. Umar dapat menjangkannya, dan hanya mampu memberikan semangat kepada Fathil. Fathil menggagahkan dirinya untuk bersolat subuh berjemaah di surau, mengikut Umar. 

Seolah-olah sebahagian nyawanya hilang, dia menangis teresak-esak sepanjang perjalanan ke surau. Namun, dia percaya, mujahadah dan pengorbanan yang dilakukan ini, hanya akan dirasa sebentar sahaja keperitannya, dia percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang, dan setiap perkara pasti ada hikmahnya. Mungkin dia akan dipertemukan dengan perempuan yang lebih baik, kerana jodoh sudah pasti di tangan Allah. 

perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nuur 24:26)

********************************************************************************

Masa berlalu begitu pantas. Kenangan yang lama telah dilupakan. Hidup mesti diteruskan. Alhamdulillah, Umar dan Fathil telah mendapat keputusan yang cemerlang, melayakkan diri mereka untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Rezeki mereka juga baik kerana mereka mendapat tempat di universiti yang sama di Australia. 


"Umar, nta berhajatkan sesuatu," kata Fathil setelah mereka mengambil keputusan peperiksaan.

"Apa?" jawab Umar, penuh tanda tanya.

"Ana sedar yang dahulu ana hanya dipengaruhi oleh hawa nafsu, sering lalai daripada mengingati Allah. Cinta ana dulu, bukan kerana Allah, kerana ana sekarang sudah dapat mengawal perasaan ana terhadap Asiah, malah ana bersyukur kerana ana sudah tidak mempunyai perasaan terhadapnya. Kami lebih gembira sebagai kawan sekarang. Ana bersyukur kerana ana masih lagi diberikan hidayah oleh Allah, untuk sedar akan kesilapan ana yang lalu. Namun, sudah menjadi lumrah manusia, bahawa lelaki akan tertarik kepada perempuan, tetapi ana tidak mahu mengulangi kesilapan yang lalu. Ana memerlukan bimbinganmu, wahai akhi."

Umar tidak mengerti, kehairanan. Dia tidak dapat mengagak buah fikiran Fathil. Kemudian, Fathil menyambung lagi,

"Sebenarnya ana tertarik dengan keperibadian Khazinatul, nta kenal kan Khazinatul? Ana terpegun dengan personalitinya, bak mawar berduri. Dia sentiasa menjaga pandangan, hanya berbicara dengan bukan muhrim apabila perlu, dan juga menjadi idaman bagi seorang lelaki muslim. Tiada lelaki yang berani untuk mendekatinya, kerana peribadinya yang sungguh tinggi. Tetapi, ana tewas, ana susah untuk melupakannya, tambah-tambah setelah ana melakukan solat istiqarah. Alhamdulillah, ana seperti mendapat petunjuk. Ana berharap keputusan ana betul, untuk melamar Khazinatul. Ana tidak mahu lagi mengulangi perkara yang sama, iaitu bercinta sebelum kahwin. Ana ingin merasa nikmat cinta, yang mana mendapat keredhaan Allah, iaitu bercinta selepas mempunyai ikatan yang sah. Tetapi, ana memerlukan nta, sentiasalah bimbing nta, dan doakan yang terbaik untuk nta."

Umar terlopong, terkejut. Umar mengawal perasaannya, dengan tenang, dia berkata, "Insyaallah, ana akan cuba sedaya upaya ana untuk membantu nta, tapi pada pendapat ana, apa kata nta habiskan dahulu belajar, kemudian nanti apabila sudah tamat belajar, ana bantu nta untuk mendekati Khazinatul, dan melamar dia. Ok? Nta, kahwin ni bukan sesuatu yang mudah. Nta bukan sahaja perlu bersedia dari segi zahir, malah juga batin. Bagaimana nta ingin menyara isteri nta, jika nta masih belajar? Nasihatku, nta habiskan dahulu belajar, dapatkan pekerjaan tetap, lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu Agama, selepas itu, baru nta benar2 bersedia, dan lamarlah dia."

"Hmm, lambatnya nak kenal dia, bagaimana kalau dia terlebih dahulu dilamar orang lain, terlepas nta nanti, siapa yang tak menginginkan mawar berduri seperti Khazinatul," soal Fathil.

"Insyaallah, kalau jodoh, takkan ke mana, banyakkan berdoa kepada Allah, Allah adalah sebaik-baik perancang, ingat, Allah menentukan yang terbaik untuk kita. Amboih nta ni, sabarlah la skit, haha!" 

Mereka berdua tertawa. Hanya menunggu masa dengan penuh kesabaran. Tetapi, perjuangan mereka takkan terhenti setakat ini sahaja. Mereka akan sentiasa istiqamah untuk berdakwah serta memperjuangkan Islam, di bumi Australia. Islam bukan sekadar agama. Islam membimbing kita supaya bertaqwa kepada Allah, dan menyedarkan kita bahawa Allah adalah pemilik segalanya. Mereka akan meneruskan perjuangan, hingga ke generasi seterusnya. Insyaallah, bersama  mawar-mawar  yang akan menyinarkan lagi cahaya Islam.

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
kata-kata yg ingin saya kongsi...
antara yg saya terima mesej dari seorg sahibah yg sgt2 disayangi....
andai ada keselarasan antara hamba dengan Rabbnya dalam kecintaan kpd-Nya,
muncul pula keselarasan antara Rabb dgn hamba-Nya dlm kerinduan dan permuhonannya...
'Jika dia meminta kpd-Ku, Aku akan benar-benar akan memberinya,
dan jika dia memohon perlindungan kpd-Ku,
Aku benar-benar memberinya perlindungan...
'Kejar cinta Allah dahulu,
jadi solehah bukan sekadar bicara
bukan sekadar perbanyakkan amal, 
bukan sekadar melupakan.. 
tapi hati itu, jaga betul-betul....

p/s : karya ini di share kpda semua daripada kawan saya...semoga semua mdpat input dan outputnya..

Comments

Popular posts from this blog

Surah Ar Ra'd ayat 28

Bagaimana nak hati menjadi tenang? Ingatlah Allah. Jika hati sentiasa berniat baik, Allah akan pertemukan dengan hal yang baik, orang-orang baik, tempat yang baik dan kesempatan untuk berbuat baik. InsyaAllah.

Doa Qunut Nazilah

اللَّهُمَّ انصُرِ الإِسلام والمْسُلِمِينَ اللَّهُمَّ انصُرِ المْسُلِمينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ (اللَّهُمَّ انصُرِ المْسُلِمينَ فِي فَلَسطِين (3كالي اللَّهُمَّ دَمَّر الكفَارَ واليَهُـودَ والنَّصَارَى والمْشُرِكِينَ اللَّهُمَّ يَا الله. يا الله. يا الله إِهزِمهُم وَانصُرناَ عَلَيهِم TERJEMAHANNYA: Wahai Tuhan kami, Berilah kemenangan kepada Islam dan Muslimin, Ya Tuhan kami, Berilah kemenangan kepada Muslimin di semua tempat, Ya Tuhan kami, Berilah kemenangan kepada orang Islam di Palestin (3x), Ya Tuhan kami, Hancurkanlah Kuffar, Yahudi, Nasrani dan Musyrikin, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Tuhan kami, Kalahkan mereka, Dan menangkan kami ke atas mereka. YA ALLAH KAU SELAMATKAN LAH PALESTIN YA ALLAH KAU SELAMATKAN LAH RAKYAT PALESTIN DARI TERUS MENJADI MANGSA KEKEJAMAN TENTERA REJIM ZIONIS ISRAEL LAKNAT YA ALLAH KAU SELAMATKANLAH MASJID AL-AQSA DARI TERUS MENJADI SASARAN PIHAK YAHUDI LAKNAT YA ALLAH KAU TAMBAHKAN LAH KEKUATAN KEPADA PEJUANG PALESTIN YA ALLAH KAU LINDUNGILAH KANAK2 ...