Dalam dunia penuh pancaroba,
Nikmat Allah tidak terkira,
Namun mengapa manusia masih bermusuhan?
"Alah, dia tu bukannya baik sangat"
"Macamlah bagus sangat"
Banyak ikan, banyak garam.
Banyak orang, banyak ragam.
Dunia dan Perhiasannya
Demi Allah, dunia ini penuh dengan perhiasan, ibarat syurga bagi mereka yang kufur tetapi dipandang sebagai penjara oleh mereka yang hatinya dihias dengan iman.
Dunia yang kelihatan cantik pada luaran, seringkali memberi satu impak ke dalam hati-hati manusia yang diberi nafsu oleh-Nya. Bagi yang bijak mengawalnya, insyaAllah nafsu berjaya ditundukkan tetapi bagi yang tidak berjaya, nafsu akan terus bergelora dan timbul pula satu perasaan hasad dan dengki, di mana pengakhirannya adalah kemusnahan.
"Hei dalam nasi ni ada cicak!!!" Jerit seorang pelanggan di sebuah restoran yang terkenal dengan kesedapan makanannya. Di raut wajahnya, terukit satu senyuman kepuasan lantaran ramai pengunjung di situ melihat dengan perasaan jelek.
Mungkin misinya telah berjaya untuk mengusir pengunjung di situ untuk berhijrah ke restoran sebelah.
Misi dunia berjaya.
Di akhirat bagaimana?
Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki melainkan kepada perkara yang dibolehkan sahaja. Apa maksudnya?
Begini, kita boleh berasa dengki kepada keadaan-keadaan seperti berikut ;
Dengki melihat orang lain lebih banyak ibadahnya daripada kita.
Dengki melihat orang lain sangat bertakwa.
Dengki melihat orang lain lebih rajin belajar.
Dengki melihat orang lain giat beramal.
Dengki melihat orang lain ralit diulit rasa cinta dan rindu kepada Allah dan Rasulullah.
Dengki melihat orang lain berjuang demi Islam.
Dan seterusnya perasaan hasad dengki itu mejana satu tenaga dalam diri untuk menjadi yang lebih baik... Bukan untuk menggagalkan orang lain itu..
Kikis Rasa Itu
"Dia tu dahlah cantik, pandai, ramai peminat. Tak adil betul" Rungut Joyah.
Tidak dapat tidak, sebagai manusia yang bernafsu, mungkin ada sekelumit rasa di dalam hati - cemburu dengan kelebihan orang lain.
Jika cemburu itu adalah titik noktahnya, maka tidak mengapa. Tetapi andai cemburu itu berleluasa menjadi iri hati dan dendam maka renunglah kembali, mengapa perlu berdendam pada nikmat Allah?
Sedarkah kita, perkara yang kita dengki, iri dan sebagainya itu adalah satu nikmat Allah.
Dengki pada kecantikan seseorang.
Dengki pada kepandaian seseorang.
Dengki pada keistimewaan seseorang.
Semuanya itu membawa maksud kita DENGKI PADA NIKMAT ALLAH. Bimbang pula andai perasaan itu berleluasa,mulut rajin pula mengumpat dan menyebar fitnah.
Dosa yang dahulu sudah banyak, mengapa mahu ditambah lagi?
Astarghfirullah, sesungguhnya nikmat Allah itu, yang diberikan kepada diri kita sendiri sudah tidak terhitung banyaknya, jika kita benar-benar mengetahui....
Kikislah rasa itu daripada berleluasa dalam hati, berikan satu rasa kemenangan buat diri yang berjaya menangkis bisikan syaitan!
Hasil Didikan
Mungkin juga lahirnya manusia-manusia yang berhasad dengki ini bermula daripada hasil didikan sejak kecil.
"Kau ni cubalah jadi baik sikit macam sepupu kau tuu" Bebel Mak Limah kepada anaknya.
"Kau ni dahlah hodoh, tak pandai pula tu.. Aku tak tahulah apa nak jadi dengan kau ni. Kau tengok anak jiran sebelah tu, elok je perangainya" Bebel Pak Mail kepada anak sulongnya.
Kritikan-kritikan yang tidak membina daripada ibu-bapa akan menjadikan anak-anak menjadi rendah diri, apatah lagi jika dibanding-bandingkan. Tanpa kita sedari, secara tidak langsung di hati anak-anak itu telah lahir satu perasaan iri hati.
"Tuhan ni tak adil, kenapa dia selalu lebih"
"Ah.. Dia ingat dia bagus sangatlah tu"
Justeru, orang dewasa amnya dan ibu-bapa khususnya perlu mengambil perhatian berkenaan hal ini. Jangan sesekali mengkritik anak-anak kecil/besar dengan kritikan-kritikan yang tidak membina dan jauhi perbandingan. Jangan dibanding-bandingkan seseorang manusia dengan manusia yang lainnya kerana sudah menjadi fitrah ciptaan Allah, tiada manusia yang sempurna dan setiap manusia itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri jika kita benar-benar menyelami...
Apa perasaannya bila anak-anak pula mula membandingkan;
"Kenapa abah ni tak baik macam ayah kawan amin eh?" Terpisat-pisat amin bertanya.
"Ah.. Kau ingat ayah dia tu baik sangat, kalau suka pergilah jadi anak dia" Tengking Encik Razak.
Jika tidak mahu dibandingkan, maka jangan membandingkan, kerana bagi ana.. Perbandingan itu akan mencetuskan satu rasa tidak enak di dalam hati
Bangunkan jiwa anak-anak dengan teguran lembut dan berhemah serta bersikap adillah dalam segala hal...
"Amin ni pandai.. Umi tahu, cuma kena usaha lebih sikit tau dalam peperiksaan akan datang"
"Pada walid, anak-anak walid semua cantik,hensem, pandai, baik"
Bermanis katalah...
Tapi jangan terlalu manis, bimbang sakit pula nanti. :)
Jauhhi perbandingan, jauhi hasad dengki...
Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah seseorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah adalah al-Tawwab (Maha Penerima taubat), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani). (Al-Hujurat :12)Wallahu'alam.. :)
p/s : Buang yang keruh,
Ambillah yang jernih,
Kerana Rasulullah itu ikutan kita...
Comments